fil awwalin, fil akhirin
cuba bayangkan sultan nak datang ke kampung kita, mesti riuh mesyuarat JKK kampung, semua mesti pening memerah otak menyusun perancangan untuk menyambut kehadiran sultan tersebut. Di khabarkan sultan akan datang lagi 3 bulan, namun semua warga kampung bertungkus lumus menyediakan persiapan, mula-mula sekali mestilah banner di gantung dahulu mengumumkan tarikh kehadiran sultan, wajah baginda dan nama terpampang melata di segenap penjuru kampung. Ke mana berjalan terlihat banner yang bertulis "daulat tuanku".
Dalam masa yang sama semua warga kampung bersungguh memperindahkan kawasan mereka, segala sampah dikutip, parit di cuci sehingga jernih, tiang-tiang lampu semua di cat baru. pokok bunga ditanam sepanjang jalan. bukan setakat reban ayam dibuat baru, bulu ayam pun disikat dan diminyak.(melampau)
mungkin begitulah perumpaan yang termampu untuk dibandingkan dengan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Walaupun baginda merupakan rasul utusan terakhir, namun segala petala langit dan isinya telah Allah ciptakan awal-awal lagi untuk Muhammad. sewaktu Adam A.S dilahirkan tersergam indah kalimah Agung ‘Lailahillallah, muhammadurasulullah’ di pintu syurga, Adam A.S berkahwin dengan hawa berlafazkan selawat ke atas Muhammad, dan apabila di campak keluar dari syurga pun Adam A.S memohon syafaat Nabi Muhammad ketika bertaubat. Seorang manusia yang Agung dari zuriatku, belum terlahir tetapi keagungannye mendahului kelahiranku, mungkin itu yang bermain di benak fikiran Adam A.S merenung penuh kagum akan manusia yang bernama Muhammad.
Kebanyakan Rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad memberi perkhabaran kepada umat mereka akan kehadiran seorang rasul akhir zaman, seperti Nabi Isa A.S, terdapat beberapa ayat-ayat di dalam bible yang menceritakan tentang Muhammad biarpun cendikiawan mereka menafikan wujud Muhammad dalam kitab suci mereka yang kerap diubahsuai.
Seperti sultan yang melawat ke kampung tadi yang sudah pasti ketibaan baginda akan di sambut meriah, di mana semua penduduk turun berpakaian serba indah mengiringi rombongan sultan ke dewan serbaguna yang dihias indah. Begitulah bagaimana kelahiran Muhammad di sambut. Segala isi alam menyambut kelahiran baginda, dan sepanjang hari-hari Muhammad membesar semua orang merasa kesenangan daripada keberkatan baginda.
Walaupun telah lama baginda meninggalkan kita, islam dan kitab teragung al-quran masih terpelihara, dan akan terus terpelihara sehingga akhir zaman, persoalan ramai yang telah terpesong bukan bererti ajaran baginda tercalar, malah itulah tanda betapa exclusivenya keahlian menjadi seorang muslim, hanya kepada mereka yang celik mata hati untuk melihat kesucian islam.
Tetapi lumrah kita orang melayu, mungkin kisah sultan turun melawat hangat diperkatakan beberapa bulan atau beberapa minggu, kemudian malap, setakat gambar atau pun sedikit coretan di dinding dewan sahaja yang tinggal, mencerita peristiwa yang berlaku. Harap tidaklah Nabi Muhammad dilupakan dari diri kita.
